Pada 20.2.2009 yang lalu Us. Mohammad Shukri telah menyampaikan tazkirah yang bertajuk Jarak Dunia Dengan Akhirat Seperti Memejam Mata. Marilah kita menghayati bersama isi pengajaran dan penghayatan daripada hadis berikut:
Jabir bin Abdullah berkata : Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah s.a.w maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya pula sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih. Lalu dia menghampiri Rasulullah s.a.w dengan berkata:"Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu?"
Maka Rasulullah s.a.w pun berkata :"Dunia itu adalah impian orang yang tidur"
Tanya orang itu lagi : " Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah s.a.w?"
Kata Rasulullah s.a.w : "Satu kumpulan manusia yang berada dalam Syurga dan satu kumpulan lagi berada dalam Neraka Sya'ir."
Orang itu bertanya lagi : "Apakah Syurga itu?"
Kata Rasulullah s.a.w :"Sebagai ganti dunia untuk mereka yang menjauhkan dunia, kerana sesungguhnya nilai harga syurga itu sama dengan menjauhkan dunia ini."
Tanya orang itu lagi: "Apakah Jahannam itu?"
Maka Rasulullah s.a.w berkata : "Jahannam itu adalah sebagai ganti dunia bagi mereka yang mencarinya."
Tanya orang itu lagi : "Siapakah sebaik-baik umat ini?"
Kata Rasulullah s.a.w :"Sebaik-baik umat ialah yang taat kepada Allah s.w.t"
Orang itu bertanya lagi :"Bagaimana dikatakan orang yang taat itu?"
Kata Rasulullah s.a.w : "Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sebagai mana orang mencari kafilah."
Orang itu bertanya lagi : "Seberapakah ketentuan taat itu?"
Kata Rasulullah s.a.w : "Seperti kira-kira perbezaan dari kafilah."
Tanya orang itu lagi : "Berapa jarak jauhnya Dunia dengan akhirat itu?"
Kata Rasulullah s.a.w : "Hanya sekadar memejamkan mata sahaja."
Jabir melanjutkan ceritanya:"Setelah orang itu pergi kami tidak lagi melihat orang itu selepas itu." Rasulullah bersabda : "Orang lelaki yang datang tadi adalah Jibril a.s, dia datang kepada kamu supaya kamu semua menjauhkan diri dari dunia dan supaya kamu mencintai akhirat."
Kata Rasulullah s.a.w lagi: "Sesunguhnya Allah s.w.t tidak menciptakan makhluk yang lebih dibenci selain dunia, bahkan dia (Allah) tidak melihatnya sejak menciptakannya."
Pengajaran daripada Hadis:
- Dunia tidak akan kekal, maka gunakan dunia untuk mengumpul bekalan amal untuk dibawa ke akhirat.
- Jangan menjadi orang bodoh iaitu orang yang menghabiskan masa dan tenaga mengejar dunia.
- Jadilah orang yang pandai iaitu orang yang mendekatkan diri kepada Allah.
- Jangan bertangguh untuk membuat amal dan ibadah kerana saat kematian tidak diketahui masa dan tarikhnya. Umur yang muda bukan jaminan kita akan hidup sehingga usia tua. Maut adalah seperti telur di hujung tanduk. Jarak Dunia Dengan Akhirat Seperti Memejam Mata.
(Sumber rujukan: Himpunan Kisah-Kisah Teladan 1, Syarikat NurulHas)
No comments:
Post a Comment