Hadis Nabi Muhammad s.a.w:
Daripada Saidatina A'ishah r.a bahawa Nabi s.a.w mengambil tikar yang dibuat daripada pelepah dan daun tamar untuk dijadikan dinding tempat baginda bersolat di waktu malam dan di waktu siang Baginda menghamparkan tikar daun tamar itu dan duduk di atasnya, orang pun datang berkumpul kepada Rasulullah lalu solat sepertinya sehingga ramai yang mengikutnya, Rasulullah datang dan menemui mereka lalu bersabda: "Wahai manusia, buatlah amalan sekadar kemampuan kamu, bahawasanya Allah tidak akan berasa jemu, dan sesungguhnya amalan yang paling dikasihi Allah ialah amalan yang berkekalan selalu, sekalipun sedikit". (Hadis Riwayat Bukhari)
Pengajaran Daripada Hadis:
- Islam mengajar supaya kita istiqamah (berterusan) dalam beribadah. Islam tidak menyuruh kita melakukan ibadah yang banyak pada satu-satu masa kemudian meninggalkannya pada masa yang lain pula. Contohnya; pada bulan Ramadhan sahaja kita kuat beribadah, masuk je Syawal kita terus berhenti dari amalan yang sunat. Apa yang penting ibadah yang kita buat walaupun sedikit, tetapi kita hendaklah buat setiap hari dan berterusan. Barulah kita rasa mudah untuk meneruskan ibadah... (Bertanya pada diri sendiri : Apa amalan yang kita buat secara berterusan selain dari sembahyang lima waktu? Al-Quran pun belum mampu jadi amalan harian.)
- Jangan memaksa diri untuk beribadah. Islam hanya menganjurkan kita beribadah setakat yang kita mampu, Kalau rasa penat dan letih tidak perlulah kita memaksa diri untuk berjaga malam melakukan ibadah sunat atau qiamullail. Tetapi kalau kita mampu untuk beribadah dan melakukan amalan-amalan sunat adalah digalakkan untuk melakukannya. (Tapi kadangkala kita ni masa senang pun tak beribadah masa penat apatah lagi. Renungkanlah...)
- Islam mengajar kita supaya redha dengan yang kita miliki. Untuk beribadah tidak perlulah kita mengadakan persiapan yang istimewa atau melampau dan menjadikan kita susah untuk beribadah. Cukuplah sekadarnya. Seperti yang Rasulullah saw lakukan dengan sekeping tikar tamar yang pada siangnya dijadikan alas duduk dan sebelah malamnya dijadikan dinding untuk melindungi beliau dari penglihatan sahabat ketika beribadat. ( Kadangkala kita ni berhias-hias yang berlebihan untuk beribadah di masjid atau surau. Adakah niat kita berhias kerana Allah atau berhias untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain? Kalau ibadah dirumah sendiri, adakah kita memakai perhiasan yang cantik-cantik sama macam nak pergi surau?)
- Jangan jemu dalam beribadah. Kita mudah merasa malas atau jemu dalam beribadah. Sedangkan Allah tidak menutup pintu limpah kurnianya kepada hambanya yang beribadah dengan khusuk dan ikhlas. Dan Allah tidak jemu dan berhenti meemberi kurniaNya sehinggalah kita berhenti memohon dan meminta kepadaNya. (Allah yang Maha Berkuasa tak pernah jemu mendengar permohonan hambaNya, sedangkan kiat hamba yang lemah ini selalu lupa untuk meminta pertolonganNya. Kenapa ye... Jemu? Sombongkah kita? )
(Tazkirah disampaikan oleh Us. Muhamad Luqman pada 13.2.2009)
No comments:
Post a Comment