Pada hari Jumaat 6.2.2009 yang lalu, Ustazah Aishah telah menyampaikan tazkirah sebagai perkongsian ilmudan peringatan untuk golongan muslimin dan muslimat di JPAM. Tajuk tazkirah yang disampaikan ialah Syaitan menghasut sesatkan manusia menerusi 10 pintu. Tajuk ini amat penting untuk kita hayati kerana kita juga kadangkala ada mengamalkan perkara-perkara tersebut secara sedar ataupun tidak. Marilah kita sama-sama menjauhi perkara-perkara berikut:
1. Pintu kesombongan dan keangkuhan : Firman Allah: "Jangan engkau miringkan pipimu terhadap manusia kerana kesombongan dan jangan engkau berjalan di muka bumi dengan sangat riang, sesunguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlenggang dalam perjalanannya kerana sombong dan bermegah-megah"-(Lukman:18)
2. Sifat bakhil dan kedekut : Kita seringkali berasa sangat sayang dengan setiap harta yang kita miliki, sedangkan pada hakikatnya setiap harta yang kita ada adalah kepunyaan Allah. Di dalam al-Quran telah diberitahu sekiranya kita mensyukuri nikmat Allah dan membelanjakan pada jalan yang benar kita akan mendapat nikmat yang jauh lebih baik. Firman Allah: "Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa jua yang dikehendaki-Nya dan Dia juga yang menyempitkan".
3. Sifat takbur : Firman Allah : " Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur " (an-Nahlu : 23).
4. Sifat riak dan suka dipuji : Riak adalah salah satu sifat orang munafik. Manakala sifat suka dipuji akan membatalkan dan merosakkan nilai amalan kebaikan. Sabda Rasulullah : "Sesiapa yang menunjukkan amalnya kerana riak, Allah akan bukakan akibatnya, dan sesiapa yang menunjukkan amalan salihnya itu supaya disanjung dan dipuji akan Allah bukakan niat buruknya di khalayak ramai".
5. Sifat hasad dengki : Sabda Rasulullah : " Hindarilah kamu daripada perbuatan hasad kerana dapat memakan amalan kebaikan kamu, seperti api memakan kayu yang kering".
6. Suka memandang remeh kepada orang lain : Kadangkala kita merasakan kitalah yang terbaik dan apa yang dialkukan oleh orang lain semuanya tidak betul. Ada sahaja yang kurang pada pandangan mata kita. Betul tak? Kita kene ingat sebenarnya kalau kita merasa diri kita pandai sebenarnya ada yang lebih pandai dan lebih baik dari kita seperti dalam firman Allah : "Dan setiap yang berilmu itu ada yang lebih alim (mengetahui)" (Yunus:76)
7. Sifat ujub atau bangga diri : Firman Allah : "Jangan engkau turut orang yang hatinya Kami lalaikan (butakan) daripada peringatan kami sedang dia mengikut kemahuan hawa nafsunya dan adalah perbuatan itu melebihi yang patut". (al-Kahfi : 28)
8. Sifat suka bersenang lenang : Kebiasaannya manusia yang suka bersenang lenang mudah lupa tanggungjawab kepada Allah, manusia lain dan kepada alam.
9. Suka berangan-angan : Berangan-angan tidak ada salahnya. Angan-angan boleh membawa kita berusaha untuk mencapai impian, Tetapi berangan-angan sahaja tanpa berusaha akan menggalakkan kita menjadi malas dan hanya berharap sahaja.
10. Sifat suka berburuk sangka : Seseorang yang sengaja menuduh orang lain melakukan sesuatu perbuatan tidak baik melalui telahan dan anggapan atau sangkaan tanpa bukti dan kebenaran akan dilaknat Allah.
Islam menganjurkan kita mengamalkan kita berdoa kepada Allah agar kita dipelihara daripada hasutan syaitan dengan menyebut : " Aku berlindung daripada syaitan yang direjam." Semoga kita semua berjaya menentang godaan dan menutup peluang syaitan menyesatkan diri kita..